<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar.g?targetBlogID\x3d8899913\x26blogName\x3dA+Piece+Of+My+Life..\x26publishMode\x3dPUBLISH_MODE_BLOGSPOT\x26navbarType\x3dBLUE\x26layoutType\x3dCLASSIC\x26searchRoot\x3dhttps://taynet.blogspot.com/search\x26blogLocale\x3den_US\x26v\x3d2\x26homepageUrl\x3dhttp://taynet.blogspot.com/\x26vt\x3d-5176397620922292808', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
Wednesday, November 02, 2005

AIDILFITRI - SIAPA 'AIDEEN DAN SIAPA FAAIZEEN?

Ilmu diambil daripada web Ust Hasrizal..www.saifulislam.com..sila lawati utk artikel lain..

Selamat Hari Lebaran, Minal 'aideen wal faaizeen... bait-bait lagu raya ini sedang berputar berulang-ulang kali di radio. Semalam hati saya juga terusik dengan ucapan yang sama oleh Siti Muslihah yang sudah lama dilupakan oleh orang ramai. Ucapan yang sama juga kerap tercoret di kad-kad raya sama ada yang bersetem, atau yang dikirim secara elektronik.

Namun, pernahkah kita benar-benar memikirkan erti di sebalik pengucapan tersebut? Terfikirkah kita betapa besarnya makna di sebalik ungkapan itu? Atau sekali lagi, ia hanya ucapan tanpa makna, seperti Assalamualaikum yang gersang dari rasa sebuah doa, atau Insya Allah yang hanya kosmetik untuk cadangan memungkiri janji? Fenomena kata-kata tanpa makna ini memang sudah lama wujud, sudah lama berlaku. Kerana itulah agaknya, Hasan al-Banna sering memulakan ceramahnya dengan menyebut:

"Aku alu-alukan kalian dengan alu-aluan Islam, alu-aluan yang asalnya di sisi Allah, penuh kebaikan dan keberkatan, manusia menyebutnya sebagai adat, sedangkan kita menyebutnya sebagai ibadat, Assalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh"

Sebagai hamba, kita perlu sentiasa beringat bahawa Allah menciptakan kita hanya dengan satu tujuan, iaitu untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Semuanya mesti jadi ibadah. Jika umur 60 dan tidur sehari 8 jam, jumlah tidur selama 20 tahun itu mesti dijamin yang ia adalah ibadah. Seandainya semua itu tersia menjadi sisa, maka muflislah kita mengadap Allah di Padang Mahsyar. Oleh itu, adat kebiasaan yang baik mesti diangkat menjadi ibadah. Jika adat boleh memenuhi sekurang-kurangnya enam ciri teras ibadah, maka bolehlah ia menjadi persembahan kita kepada Allah. Enam ciri teras itu ialah:

1. Niat yang betul, baik dan tepat.
2. Adat atau sebarang aktiviti berkenaan mestilah diharuskan oleh Syara'.
3. Perlaksanaannya tidak bercampur aduk dengan anasir yang anti-Syara'.
4. Ia dilaksanakan dengan sebaik mungkin (itqan dan optimum).
5. Menjaga prioriti. Ibadah umum tidak boleh melanggar Ibadah Asas dan Sunat.
6. Hasil perbuatan tersebut baik kesannya.

Oleh yang demikian, lafaz-lafaz yang kita ucapkan di musim perayaan ini mestilah bermakna. Malah ungkapan Salam Deepavali dan yang seumpama dengannya juga mestilah diteliti implikasinya. Saya teringat kepada ceramah yang disampaikan oleh Brother Abdul Raheem Green semasa beliau berkunjung ke Ireland suatu ketika dahulu. Antara kata beliau, "apabila kita mengucapkan Wish You A Merry Christmas, Have A Nice Christmas etc, kita sebenarnya menyebut Wish You a Happy Syirk, Have A Nice Kufur! Sekurang-kurangnya jika anda tidak rasa begitu, kami yang asalnya Kristian kemudian memeluk Islam, terasa begitu apabila mendengar ungkapan sedemikian rupa, kerana kami tahu nilai Iman dan bahana Kufur!"

Saya bukanlah hendak membincangkan soal hukum mengucapkan tahniah kepada non-Muslim di atas perayaan mereka. Biarlah soal hukum dirujuk kepada diskusi yang telah dibuat oleh mereka yang lebih arif dalam soal ini. Cuma, apa yang saya mahu ketengahkan ialah budaya sikap-cakap yang berlegar kepada menyebut sesuatu tanpa pernah mahu berfikir akan maknanya. Mungkin jika tidak dirawat, dalam Solat pun kita membawa kerenah yang sama, membaca pelbagai zikir, ayat dan doa, tanpa mempedulikan akan maknanya.

Berbalik kepada soal minal 'aideen wal faaizeen itu tadi. Ia adalah suatu ungkapan yang besar. Kita mengucapkan tahniah atas kejayaan kita untuk memenuhi tuntutan Ramadhan, melepasi proses Tarbiyahnya dan akhirnya, kita melambai senja Ramadhan yang menyinsing dengan suatu diri yang tinggi. Tinggi kerana kita telah menundukkan nafsu, kita telah menghidupkan hati dan kita telah meringankan tubuh badan untuk beribadah. Malah kita juga telah mengubah sikap kepada yang lebih baik, sesuai dengan ciri-ciri asal yang telah dikurniakan Allah kepada kita. Ya, kita telah kembali kepada Fitrah, 'kembali ke jalan Allah'. Inilah erti 'Aideen iaitu orang yang kembali.

Mereka yang berjaya menyerlahkan kembali Fitrah diri yang selama ini terkurung di perangkap nafsu dan kejahilan, adalah manusia yang berjaya.

"Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya dari belenggu nafsu" (Asy-Syams 91: 9)

Inilah erti al-Faa'izeen yang kita sebutkan. Maka cerminlah keadaan diri kita semua. Apakah kita telah kembali kepada fitrah diri yang sebenar selepas Ramadhan ini? Apakah apabila al-Quran menyebut ciri-ciri orang mukmin, di dalam ayat yang banyak dan pelbagai, kita menepati ciri tersebut? Dan benarkah kita telah berjaya?

Seandainya tidak, ungkapan-ungkapan itu hanyalah sebagai satu ejeken. Mengejek diri sendiri yang jelek, kerana menyarungkan pakaian sutera, pada 'tunggul manusia' yang tiada harga...

Moga benar-benar kita ini kembali kepada fitrah, sebelum kita kembali kepada Allah. Kerana itu sahajalah erti Fa'izeen dan mereka sahajalah yang beroleh al-Falah...

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
Wassalamualaikum wbt.

@ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com/

Cheras 56000
02 November 2005 / 29 Ramadhan 1426H


+ asma'hatta @ 2:12 PM 0 comments

_____________

Get awesome blog templates like this one from BlogSkins.com